Friday, August 27, 2010

5: Adakah Teknologi Menyebabkan Semangat Patriotisme Berkurangan di kalangan Belia.

Patriotisme berasal daripada perkataan patriot bererti perasaan dan sifat-sifat mencintai dan bersedia mempertahankan tanahair (tanah tumpah darah, watan). Patriotisme bukan sekadar mengibar bendera semasa menyambut ulang tahun kemerdekaan. Ia juga tidak sekadar beruniform kemas serta aksi berkawat yang tersusun rapi dengan gaya segak dan wajah yang serius. Ia mengenai suatu komitmen, suatu perasaan mendalam, suatu semangat yang dihayati, menyerlah serta berkobar-kobar apabila dituntut keadaan.


Dalam konteks masa kini, patriotisme boleh kita tafsirkan sebagai sikap, semangat dan tindak-tanduk yang menjurus kepada gagasan dan usaha mengawal kepentingan, maruah dan kedaulatan bangsa dan negara dalam pelbagai bidang kehidupan – ekonomi, politik, sosial, hubungan antarabangsa, kedaulatan, kebudayaan, agama, keselamatan, undang-undang, dan sebagainya.


Seseorang yang patriotik sangat prihatin terhadap untung nasib negaranya. Dia akan mudah tercuit dengan sebarang bentuk ancaman atau tindakan yang seakan memperlekehkan negaranya dan mudah terpanggil untuk bertindak balas atau melakukan sesuatu. Patriotisme atau sifat patriotik juga harus merangkumi usaha-usaha yang dapat meningkatkan martabat bangsa dan negara serta menyumbang kepada ketamadunan manusia seperti penerokaan dan perkembangan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, model dan kaedah-kaedah pembangunan, kerukunan hidup (seperti perhubungan etnik dan ras), keadilan sosial, keamanan dan kesejahteraan sejagat. Patriotisme digalakkan kerana ia menjamin ketahanan nasional. Ia juga dilihat sebagai satu-satunya tenaga yang mampu mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman (dari dalam dan luar negeri) dan dengan itu memastikan kestabilan, keutuhan dan kelangsungan sesebuah negara-bangsa.


Semangat patriotik dikalangan belia pada masa kini menjadi isu penting yang dibahaskan. Hal yang demikian kerana terdapat beberapa faktor yang menjurus kepada kurangnya semangat patriotik. Antaranya adalah kehidupan Affluent iaitu suatu kehidupan yang serba senang dan mudah di kalangan generasi belia pada masa kini adalah satu faktor yang dikhuatiri mengurangkan semangat patriotisme di kalangan mereka. Pelbagai kemudahan sosial, kemajuan ekonomi, kehadiran berbagai-bagai barangan dan perkhidmatan di pasaran, aneka bentuk hiburan, semua ini boleh melekakan atau mengalpakan generasi muda daripada hal-hal yang lebih serius seperti soal kedudukan dan kemajuan bangsanya atau peranan dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat dan negara. Mereka mungkin asyik atau mudah dibuai oleh segala kesenangan dan kemewahan hidup demikian sehingga tidak terpanggil untuk memberikan sumbangan kepada pembangunan bangsanya, atau beranggapan bahawa soal pembangunan, kemajuan dan masa depan bangsa dan negaranya bukan bidang yang menuntut perhatian mereka.


Seterusnya pula kekurangan pengetahuan sejarah. Generasi belia juga didapati cetek atau kurang pengetahuan tentang latar belakang dan sejarah bangsanya. Keadaan ini terjadi disebabkan Sejarah tidak lagi menduduki tempat yang istimewa seperti sebelum ini. Pengetahuan sejarah tidak dianggap suatu perkara penting di pasaran kerja dan tidak mendapat galakan yang sepatutnya daripada kalangan dewasa. Kegiatan-kegiatan yang dapat mendidik atau mendedahkan generasi muda kepada akar dan sejarah bangsanya seperti melalui pelbagai kegiatan seni dan budaya ternyata amat terhad dan ini tidak membantu memupuk kesedaran dan keinsafan terhadap nasib dan masa depan bangsa dan negara di kalangan mereka. Kekurangan kesedaran dan kefahaman sejarah tentu tidak membantu memupuk patriotisme di kalangan generasi muda. Kekadang itu ditanya kepada golongan belia adakah kenal beberapa tokoh perjuangan negara, ada yang langsung tidak kenal. Ini amatlah menyedihkan.


Kemudiannya pula adalah pengaruh budaya global. Pada era kini kita juga menyaksikan pelbagai alat elektronik, hiburan, kegiatan seni, makanan dan minuman, bahan bacaan dari luar membanjiri pasaran tempatan. Remaja belia jelas merupakan kumpulan sasar utama bagi segala alat, barangan dan bahan tersebut. Globalisasi tambah memudahkan nilai dan budaya luar (tak kira baik atau buruk bagi masyarakat kita) mempengaruhi generasi muda, menjadikan mereka lebih global. Dengan globalisasi yang semakin memecahkan segala tembok sempadan, perasaan sepunya (sense of belonging) turut terhakis. Patriotisme dengan nilai-nilai, semangat dan tindak-tanduk yang bertunjangkan kepentingan nasional sudah tentu terpaksa bersaing hebat dengan pengaruh global yang kuat dan semakin meluas ini.


Faktor seterusnya adalah nilai-nilai kolektif yang berkurangan. Begitu juga patriotisme yang menganjurkan nilai dan semangat kolektif seperti keprihatinan sosial, kejiranan, perpaduan/solidariti, kerjasama, perkongsian dan permuafakatan di kalangan anggota-anggota masyarakat terus ditekan oleh individualisme yang semakin membudayai masyarakat, khususnya generasi muda. Kemajuan kebendaan, budaya wang dan keghairahan kepada gaya hidup mewah menguatkan nilai dan sikap individualistik di kalangan remaja belia dan ini memberi kesan langsung terhadap nilai-nilai kolektif dan patriotisme mereka.


Kemudian kita kaitkan pula peranan teknologi itu sendiri terhadap kurangnya semangat patriotic di kalangan belia ini. Teknologi merupakan satu medium yang digunakan untuk menyampaikan apa yang perlu diketahui umum terutamanya golongan belia yang dianggap sebagai peneraju utana negara. Antara contoh saluran yang digunakan dalam usaha menyampaikan maklumat kepada golongan belia masa kini adalah seperti blog, akhbar, laman-laman sesawang diantaranya seperti Facebook, Twitter, Myspace, Friendster dan lain-lain. Kebanyakan maklumat yang disampaikan adalah berkaitan perkembangan tentang isu-isu semasa yang berlaku di dalam dan di luar negara.


Bersempena dengan bulan kemerdekaan yang juga turut disambut bersama-sama bulan Ramadhan yang penuh barakah, teknologi memainkan peranan yang penting dalam menyuntik semangat patriotisme dan cintakan negara selain member sejuta pengertian dalam menunaikan ibadah puasa di bulan yang mulia ini. Teknologi sememangnya memainkan peranan yang penting dalam memastikan rakyat Malaysia terutamanya golongan belia agar tidak melupakan pengorbanan yang telah dilakukan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah berusaha menuntut kemerdekaan seperti yang telah kita kecapi sekarang ini. Walaubagaimanapun, kita dapat melihat perbezaaan semangat cintakan negara diantara masa dahulu dan sekarang, dan perbezaan yang dilihat itu bukanlah perbezaaan tahun yang begitu lama. Sebagai contoh, beberapa tahun dahulu kita dapat melihat terdapat banyak kenderaan yang meletakkan bendera kebangsaan kita iaitu jalur gemilang berbanding sekarang. Ini dengan jelas dapat dilihat ketika kita menggunakan jalan raya. Dan apa yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan masyarakat Malaysia hanyalah cuti umum sehari yang akan digunakan untuk berehat dirumah ataupun bercuti bersama keluarga dan golongan belia yang terdiri daripada muda mudi lebih berminat untuk melepak bersama rakan-rakan, berhibur dan berpeleseran daripada cuba untuk bertafakur bagi menghayati, memahami erti sebenar kemerdekaan.


Berbalik kepada fungsi teknologi dalam menyuntik kembali semangat patriotism dikalangan belia kelihatan seolah-olah tidak member kesan yang mendalam seterunya seperti yang kita lihat, golongan belia masa kini seolah-olah tidak memahami erti sebenar kemerdekaan dan menyebabkan semangat patriotik dalam diri semakin berkurangan. Hal ini mungkin juga disebabkan kerana mereka tidak merasai pahit getir yang perlu ditempuhi oleh pejuang-pejuang, sebaliknya seperti yang telah diperkatakan, hanya menikmati hasil kemerdekaan sahaja. Ini menunjukkan bahawa negara kita telah merdeka dari segi pemerintahan tetapi tidak sama sekali dari segi pemikiran yang kelihatannya masih lagi dijajah oleh anasir-anasir luar.


Walaupun begitu, terdapat juga golongan belia yang masih menunjukkan semangat cintakan negara sebagai contoh seperti keratan akhbar METRO bertarikh 19 ogos 2010 yang bertajuk “Sanggup Berhabis Demi Semangat Merdeka” yang mengisahkan tentang seorang belia yang sanggup berhabis masa dan duit untuk menghias kawasan rumahnya demi menunjukkan semangat patriotism yang tidak pernah terkubur dari dalam dirinya. Selain itu terdapat juga keratin akhbar pada tarikh yang sama bertajuk “Didik Masyarakat Ingat Hari Pahlawan” bersempena bulan kemerdekaan ini untuk mengutip sumbangan yang akan disalurkan kepada pahlawan kemerdekaan. Dalam keratan akhbar tersebut juga turut mengatakan bahawa sumbangan yang dikutip juga semakin berkurangan, dan adakah ia juga menunjukkan semangat patriotisme juga semakin berkurang? Kita sendiri dapat menentukan.


Pada tahun ini, bersempena bulan kemerdekaan yang turut disambut pada bulan yang penuh barakah iaitu bulan ramadhan terdapat juga siaran televisyen yang menyediakan program-program yang bertemakan satu kenikmatan sejuta pengertian, bukan sahaja sebagai tontonan tetapi juga sebagai penghayatan dan diharap program-program seperti ini akan dapat memupuk semangat kemerdekaan, menyuntik semangat patriotism dan semangat cintakan negara.


Kesimpulan yang dapat dibuat disini, walaupun teknologi merupakan medium utama yang digunakan untuk menyuntik semangat patriotism dan cintakan negara selain menyampaikan maklumat kepada semua masyarakat tetapi kesedaran haruslah lahir daripada diri sendiri merupakan sesuatu yang lebih penting. Hal ini kerana sebanyak manapun input yang diberikan kepada kita, tetapi jika tiada kesedaran dan tindakan yang diambil maka tidak ada sebarang makna kepada semua input yang telah diberikan.

















































































Petikan daripada akhbar:

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sanggupberhabisdemisemangatmerdeka/Article

http://www.hmetro.com.my/articles/Jalankakibawasemangatmerdeka/Article/

http://www.nib.my/archives/text/view/52162622?pos=24&hide_header=1&resultset=nstpec%3Awww/cross-search/search.php%3A_1282885596%3Aresultset

http://belia.org.my/v11/index.php?option=com_content&task=view&id=147&Itemid=41

Utusan Malaysia Online - Rencana

Utusan Malaysia Online - Rencana


Sumber:


http://www.sukarelawanmalaysia.com/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=33:generasi-muda-dan-patriotisme&catid=4:artikel--teks-pembentangan&Itemid=5


http://www.sukarelawanmalaysia.com/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=88:Patriotisme-Dan-Kesukarelawanan-Sikap-Dan-Peranan-Pelajar&catid=4:artikel--teks-pembentangan&Itemid=5

http://mohdlin.blogspot.com/2010/08/semangat-patriotik-semakin-luntur.html