Friday, August 27, 2010

5: Adakah Teknologi Menyebabkan Semangat Patriotisme Berkurangan di kalangan Belia.

Patriotisme berasal daripada perkataan patriot bererti perasaan dan sifat-sifat mencintai dan bersedia mempertahankan tanahair (tanah tumpah darah, watan). Patriotisme bukan sekadar mengibar bendera semasa menyambut ulang tahun kemerdekaan. Ia juga tidak sekadar beruniform kemas serta aksi berkawat yang tersusun rapi dengan gaya segak dan wajah yang serius. Ia mengenai suatu komitmen, suatu perasaan mendalam, suatu semangat yang dihayati, menyerlah serta berkobar-kobar apabila dituntut keadaan.


Dalam konteks masa kini, patriotisme boleh kita tafsirkan sebagai sikap, semangat dan tindak-tanduk yang menjurus kepada gagasan dan usaha mengawal kepentingan, maruah dan kedaulatan bangsa dan negara dalam pelbagai bidang kehidupan – ekonomi, politik, sosial, hubungan antarabangsa, kedaulatan, kebudayaan, agama, keselamatan, undang-undang, dan sebagainya.


Seseorang yang patriotik sangat prihatin terhadap untung nasib negaranya. Dia akan mudah tercuit dengan sebarang bentuk ancaman atau tindakan yang seakan memperlekehkan negaranya dan mudah terpanggil untuk bertindak balas atau melakukan sesuatu. Patriotisme atau sifat patriotik juga harus merangkumi usaha-usaha yang dapat meningkatkan martabat bangsa dan negara serta menyumbang kepada ketamadunan manusia seperti penerokaan dan perkembangan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, model dan kaedah-kaedah pembangunan, kerukunan hidup (seperti perhubungan etnik dan ras), keadilan sosial, keamanan dan kesejahteraan sejagat. Patriotisme digalakkan kerana ia menjamin ketahanan nasional. Ia juga dilihat sebagai satu-satunya tenaga yang mampu mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman (dari dalam dan luar negeri) dan dengan itu memastikan kestabilan, keutuhan dan kelangsungan sesebuah negara-bangsa.


Semangat patriotik dikalangan belia pada masa kini menjadi isu penting yang dibahaskan. Hal yang demikian kerana terdapat beberapa faktor yang menjurus kepada kurangnya semangat patriotik. Antaranya adalah kehidupan Affluent iaitu suatu kehidupan yang serba senang dan mudah di kalangan generasi belia pada masa kini adalah satu faktor yang dikhuatiri mengurangkan semangat patriotisme di kalangan mereka. Pelbagai kemudahan sosial, kemajuan ekonomi, kehadiran berbagai-bagai barangan dan perkhidmatan di pasaran, aneka bentuk hiburan, semua ini boleh melekakan atau mengalpakan generasi muda daripada hal-hal yang lebih serius seperti soal kedudukan dan kemajuan bangsanya atau peranan dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat dan negara. Mereka mungkin asyik atau mudah dibuai oleh segala kesenangan dan kemewahan hidup demikian sehingga tidak terpanggil untuk memberikan sumbangan kepada pembangunan bangsanya, atau beranggapan bahawa soal pembangunan, kemajuan dan masa depan bangsa dan negaranya bukan bidang yang menuntut perhatian mereka.


Seterusnya pula kekurangan pengetahuan sejarah. Generasi belia juga didapati cetek atau kurang pengetahuan tentang latar belakang dan sejarah bangsanya. Keadaan ini terjadi disebabkan Sejarah tidak lagi menduduki tempat yang istimewa seperti sebelum ini. Pengetahuan sejarah tidak dianggap suatu perkara penting di pasaran kerja dan tidak mendapat galakan yang sepatutnya daripada kalangan dewasa. Kegiatan-kegiatan yang dapat mendidik atau mendedahkan generasi muda kepada akar dan sejarah bangsanya seperti melalui pelbagai kegiatan seni dan budaya ternyata amat terhad dan ini tidak membantu memupuk kesedaran dan keinsafan terhadap nasib dan masa depan bangsa dan negara di kalangan mereka. Kekurangan kesedaran dan kefahaman sejarah tentu tidak membantu memupuk patriotisme di kalangan generasi muda. Kekadang itu ditanya kepada golongan belia adakah kenal beberapa tokoh perjuangan negara, ada yang langsung tidak kenal. Ini amatlah menyedihkan.


Kemudiannya pula adalah pengaruh budaya global. Pada era kini kita juga menyaksikan pelbagai alat elektronik, hiburan, kegiatan seni, makanan dan minuman, bahan bacaan dari luar membanjiri pasaran tempatan. Remaja belia jelas merupakan kumpulan sasar utama bagi segala alat, barangan dan bahan tersebut. Globalisasi tambah memudahkan nilai dan budaya luar (tak kira baik atau buruk bagi masyarakat kita) mempengaruhi generasi muda, menjadikan mereka lebih global. Dengan globalisasi yang semakin memecahkan segala tembok sempadan, perasaan sepunya (sense of belonging) turut terhakis. Patriotisme dengan nilai-nilai, semangat dan tindak-tanduk yang bertunjangkan kepentingan nasional sudah tentu terpaksa bersaing hebat dengan pengaruh global yang kuat dan semakin meluas ini.


Faktor seterusnya adalah nilai-nilai kolektif yang berkurangan. Begitu juga patriotisme yang menganjurkan nilai dan semangat kolektif seperti keprihatinan sosial, kejiranan, perpaduan/solidariti, kerjasama, perkongsian dan permuafakatan di kalangan anggota-anggota masyarakat terus ditekan oleh individualisme yang semakin membudayai masyarakat, khususnya generasi muda. Kemajuan kebendaan, budaya wang dan keghairahan kepada gaya hidup mewah menguatkan nilai dan sikap individualistik di kalangan remaja belia dan ini memberi kesan langsung terhadap nilai-nilai kolektif dan patriotisme mereka.


Kemudian kita kaitkan pula peranan teknologi itu sendiri terhadap kurangnya semangat patriotic di kalangan belia ini. Teknologi merupakan satu medium yang digunakan untuk menyampaikan apa yang perlu diketahui umum terutamanya golongan belia yang dianggap sebagai peneraju utana negara. Antara contoh saluran yang digunakan dalam usaha menyampaikan maklumat kepada golongan belia masa kini adalah seperti blog, akhbar, laman-laman sesawang diantaranya seperti Facebook, Twitter, Myspace, Friendster dan lain-lain. Kebanyakan maklumat yang disampaikan adalah berkaitan perkembangan tentang isu-isu semasa yang berlaku di dalam dan di luar negara.


Bersempena dengan bulan kemerdekaan yang juga turut disambut bersama-sama bulan Ramadhan yang penuh barakah, teknologi memainkan peranan yang penting dalam menyuntik semangat patriotisme dan cintakan negara selain member sejuta pengertian dalam menunaikan ibadah puasa di bulan yang mulia ini. Teknologi sememangnya memainkan peranan yang penting dalam memastikan rakyat Malaysia terutamanya golongan belia agar tidak melupakan pengorbanan yang telah dilakukan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah berusaha menuntut kemerdekaan seperti yang telah kita kecapi sekarang ini. Walaubagaimanapun, kita dapat melihat perbezaaan semangat cintakan negara diantara masa dahulu dan sekarang, dan perbezaan yang dilihat itu bukanlah perbezaaan tahun yang begitu lama. Sebagai contoh, beberapa tahun dahulu kita dapat melihat terdapat banyak kenderaan yang meletakkan bendera kebangsaan kita iaitu jalur gemilang berbanding sekarang. Ini dengan jelas dapat dilihat ketika kita menggunakan jalan raya. Dan apa yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan masyarakat Malaysia hanyalah cuti umum sehari yang akan digunakan untuk berehat dirumah ataupun bercuti bersama keluarga dan golongan belia yang terdiri daripada muda mudi lebih berminat untuk melepak bersama rakan-rakan, berhibur dan berpeleseran daripada cuba untuk bertafakur bagi menghayati, memahami erti sebenar kemerdekaan.


Berbalik kepada fungsi teknologi dalam menyuntik kembali semangat patriotism dikalangan belia kelihatan seolah-olah tidak member kesan yang mendalam seterunya seperti yang kita lihat, golongan belia masa kini seolah-olah tidak memahami erti sebenar kemerdekaan dan menyebabkan semangat patriotik dalam diri semakin berkurangan. Hal ini mungkin juga disebabkan kerana mereka tidak merasai pahit getir yang perlu ditempuhi oleh pejuang-pejuang, sebaliknya seperti yang telah diperkatakan, hanya menikmati hasil kemerdekaan sahaja. Ini menunjukkan bahawa negara kita telah merdeka dari segi pemerintahan tetapi tidak sama sekali dari segi pemikiran yang kelihatannya masih lagi dijajah oleh anasir-anasir luar.


Walaupun begitu, terdapat juga golongan belia yang masih menunjukkan semangat cintakan negara sebagai contoh seperti keratan akhbar METRO bertarikh 19 ogos 2010 yang bertajuk “Sanggup Berhabis Demi Semangat Merdeka” yang mengisahkan tentang seorang belia yang sanggup berhabis masa dan duit untuk menghias kawasan rumahnya demi menunjukkan semangat patriotism yang tidak pernah terkubur dari dalam dirinya. Selain itu terdapat juga keratin akhbar pada tarikh yang sama bertajuk “Didik Masyarakat Ingat Hari Pahlawan” bersempena bulan kemerdekaan ini untuk mengutip sumbangan yang akan disalurkan kepada pahlawan kemerdekaan. Dalam keratan akhbar tersebut juga turut mengatakan bahawa sumbangan yang dikutip juga semakin berkurangan, dan adakah ia juga menunjukkan semangat patriotisme juga semakin berkurang? Kita sendiri dapat menentukan.


Pada tahun ini, bersempena bulan kemerdekaan yang turut disambut pada bulan yang penuh barakah iaitu bulan ramadhan terdapat juga siaran televisyen yang menyediakan program-program yang bertemakan satu kenikmatan sejuta pengertian, bukan sahaja sebagai tontonan tetapi juga sebagai penghayatan dan diharap program-program seperti ini akan dapat memupuk semangat kemerdekaan, menyuntik semangat patriotism dan semangat cintakan negara.


Kesimpulan yang dapat dibuat disini, walaupun teknologi merupakan medium utama yang digunakan untuk menyuntik semangat patriotism dan cintakan negara selain menyampaikan maklumat kepada semua masyarakat tetapi kesedaran haruslah lahir daripada diri sendiri merupakan sesuatu yang lebih penting. Hal ini kerana sebanyak manapun input yang diberikan kepada kita, tetapi jika tiada kesedaran dan tindakan yang diambil maka tidak ada sebarang makna kepada semua input yang telah diberikan.

















































































Petikan daripada akhbar:

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sanggupberhabisdemisemangatmerdeka/Article

http://www.hmetro.com.my/articles/Jalankakibawasemangatmerdeka/Article/

http://www.nib.my/archives/text/view/52162622?pos=24&hide_header=1&resultset=nstpec%3Awww/cross-search/search.php%3A_1282885596%3Aresultset

http://belia.org.my/v11/index.php?option=com_content&task=view&id=147&Itemid=41

Utusan Malaysia Online - Rencana

Utusan Malaysia Online - Rencana


Sumber:


http://www.sukarelawanmalaysia.com/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=33:generasi-muda-dan-patriotisme&catid=4:artikel--teks-pembentangan&Itemid=5


http://www.sukarelawanmalaysia.com/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=88:Patriotisme-Dan-Kesukarelawanan-Sikap-Dan-Peranan-Pelajar&catid=4:artikel--teks-pembentangan&Itemid=5

http://mohdlin.blogspot.com/2010/08/semangat-patriotik-semakin-luntur.html

Thursday, August 19, 2010

4: Pengharaman Blackberry Di UAE, Kesan Terhadap Malaysia dan Keputusan Malaysia

Blackberry adalah peranti bimbit tanpa wayar yang dibangunkan oleh sebuah syarikat di Kanada iaitu Research In Motion ( RIM ). Blackberry dikenali sebagai aplikasi telefon pintar seperti buku alamat, kalendar dan sebagainya. Kemudian kebolehan telefon model baharu blackberry pada masa kini pula adalah menghantar dan menerima e-mel dimana sahaja ia mendapat rangkaian wayarles pengendali telefon bimbit tertentu. Blackberry memiliki sebahagian 20.8% pasaran jualan telefon pintar dunia, menjadikan pelantar kedua paling popular selepas Symbian Nokia, dan telefon pintar popular di kalangan pengguna perniagaan.


Blackberry kali pertama diperkenalkan pada tahun 1999 sebagai pager dua arah. Pada tahun 2002, lebih dikenali smartphone blackberry dikeluarkan, yang menyokong push e-mel, telefon bimbit, mesej teks, fax internet, browsing web dan perkhidmatan maklumat wayarles lain. Blackberry pertama ini membuat kemajuan dalam pasaran dengan menumpukan pada e-mel. RIM blackberry pada ketika ini menawarkan perkhidmatan e-mel ke peranti bukan blackberry seperti Palm Treo, melalui perisian Blackberry Connect. Alat Blackberry asli memiliki layar monokrom, tapi semua model saat ini mempunyai paparan warna.


Blackberry mempunyai lebih 700,00 pelanggan di Arab Saudi dan 500,000 di UAE, sebuah negara yang kini menjadi hab perniagaan terutama sekali di Dubai. Rim menyakinkan pelanggan perniagaan bahawa rahsia syarikat yang dikawal rapi ketika dihantar melalui e-mel atau messeger tidak berdepan dengan risiko. “Keselamatan Blackberry direka khas untuk membekalkan pelanggan korporat dengan keupayaan menghantar maklumat tanpa wayar selain memberikan keyakinan bahawa tiada sesiapa termasuk RIM sendiri boleh mengakses data mereka” demikian kata syarikat RIM. Akibat daripada itu, kerajaan sesebuah negara tidak dapat mengakses dan mengawal maklumat jika dihantar dengan menggunakan Blackberry ini.


Justeru itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengharamkan Blackberry disebabkan oleh telefon pintar tersebut dipercayai berpotensi untuk mengancam keselamatan sesebuah negara kerana data berkod dihantar melalui peralatan itu dipindahkan ke luar negara, tanpa dipantau untuk membendung aktiviti haram dan keganasan. Ditambah pula, server itu terletak sepenuhnya di Kanada. Malahan, RIM juga tidak bersetuju untuk memenuhi permintaan beberapa buah kerajaan agar didedahkan kod-kod akses pengguna. Hal yang demikian, perkhidmatan Blackberry direka sedemikian rupa agar RIM atau sesiapa sahaja meneliti bahan komunikasi.


Kebimbangan ini berikutan kerana pesanan dan e-mel ini boleh menjurus kepada kegiatan jenayah. Jika maklumat kegiatan jenayah dihantar dengan menggunakan blackberry, kerajaan tidak dapat mengetahui dan mengaksesnya bagi membendung kegiatan jenayah.
Seterusnya pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Maklumat (CITC) Arab Saudi menegaskan penyediaan perkhidmatan Blackberry buat masa ini tidak memenuhi kriteria kawal selia dan syarat perlesenan yang ditetapkan oleh suruhanjaya itu. Ia telah memberi amaran kepada syarikat-syarikat tersebut lebih setahun lalu mengenai keperluan untuk menangani isu yang dibangkitkan. Justeru itu, Pengawal Atur Telekomunikasi UAE mengambil langkah menggantungkan Blackberry melibatkan beberapa perkhidmatan iaitu pesanan segera e-mel dan pelayaran web dan merancang untuk menyekat beberapa perkhidmatan pesanan dan web yang disediakan telefon pintar itu. Penggantung Blackberry itu berkuatkuasa pada oktober nanti. Di UAE, pengendali telefon bimbit terbesar ETISALAT menggalakkan 145, 000 pengguna telefon pintar itu memasukkan perisian membenarkan ia diperiksa pihak luar. Pihak Berkuasa Peraturan Telekomunikasi (TRA) UAE bimbang Blackberry boleh disalahgunakan kerana ia satu-satunya telefon yang menyampaikan maklumat pengguna secara automatik kepada pusat data di luar negara.


Bahang pengharaman ini turut dirasakan di Malaysia apabila kerajaan ingin mengkaji semula Blackberry ini, samada perlu diharamkan ataupun tidak berikutan negara UAE dan Arab Saudi yang telahpun mengharamkan penggunaan Blackberry ini. Pengguna Blackberry di Malaysia tidak perlu risau kerana negara akan “kekal bebas” walaupun beberapa negara lain termasuk Arab Saudi sudah mula mengambil langkah memantau penggunaan peranti tersebut, kata Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.


Ketika memberikan jaminan “kekal bebas”, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang anak Gandum berkata, kerajaan berharap pengguna di Malaysia akan menggunakan kemudahan ini dengan bertanggungjawab. “Setiap negara ada keperluan kebudayaan masing-masing. “Malaysia kekal bebas dan berharap pengguna tidak menyalahgunakan sistem ini,” kata beliau dalam respon ringkas menerusi sms ( servis Message Short) kepada The Malaysia Insider ketika bertanyakan hal pengharaman Blackberry.
Keputusan kerajaan Malaysia dapat dibaca menerusi suratkhabar ini dengan menekan kepada link ini Don’t worry, the BlackBerry stays













'














Petikan-petikan akhbar:

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Utusan Malaysia Online - Terkini

Berita Harian Online | Kementerian kumpul maklumat Blackberry

Berita Harian Online | Arab Saudi mungkin haramkan perkhidmatan mesej BlackBerry

Berita Harian Online | Arab Saudi mula gantung perkhidmatan mesej BlackBerry

Berita Harian Online | BlackBerry ancam keselamatan

Berita Harian Online | UAE garis rancangan boikot BlackBerry

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Artikel menarik:

http://www.sabahkini.net/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=4619:pengharaman-blackberry-merugikan-kita&catid=34:semasa&Itemid=2

Sumber :

http://www.tasikisme.com/index.php?option=content&view=artikel&id=2186:apakah-blackberry-itu&catid=43:mobile-tips&Itemid=70

http://ms.wikipedia.org/wiki/Blackberry

http://episodebaru.blogspot.com/2010/08/kronologi-isu-pengharaman-blackberry-di.html

Thursday, August 12, 2010

3. Plagiarime atau plagiat atau ciplak

Plagiarisme merupakan satu isu yang sukar dibendung kerana tahap kesedaran yang pelbagai dikalangan pelajar dan pengajar adalah kurang. Di dalam kebanyakan situasi, pelajar dikatakan tidak sedar mengenai isu ini disebabkan tiada pengetahuan mengenai isu tersebut atau melakukannya secara tidak sengaja.

“ Part of the dilemma is that many students are unfamiliar what determines plagiarisme and the stumble into it, unawares, not only because they never learned to use sources, but sometimes because they have been taught that research means plagiarisme” ( White:205).

Hal yang demikian kerana pengetahuan pelajar adalah terhad untuk membuat sesuatu tugasan, justeru meletakkan petikan rujukan daripada karya penulis asal dengan tepat dalam penulisan mereka. Menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, perkataan Plagiarisme bermaksud perbuatan meniru atau mengutip sebahagian atau keseluruhan karya orang lain tetapi mengakui karya tersebut sebagai usahanya sendiri.

Dalam bidang akademik, gejala menciplak oleh pelajar, profesor dan penyelidik dianggap sebagai penyelewengan akademik dan pesalah boleh dikenakan hukuman berat termasuklah digantung atau dibuang dari universiti. Dalam bidang kewartawanan pula, plagiarisme dianggap sebagai pencabulan etika kewartawanan dan pemberita yang didapati menciplak akan dikenakan tindakan tatatertib termasuklah digantung atau diberhentikan kerja. Individu yang ditangkap kerana disabit melakukan plagiat ini mendakwa bahawa mereka tidak berniat untuk melakukan kesalahan tersebut. Hal yang demikian berlaku kerana kegagalan mereka dalam mengemukakan petikan serta sumber rujukan.

Perkembangan internet telah merancakkan lagi gejala plagiat ini kerana sesuatu artikel atau rencana itu dipaparkan sebagai teks elektronik. Ini telah menjadikan proses menyalin hasil kerja orang lain dengan lebih mudah melalui teknik atau kaedah "potong dan tampal" atau "Copy & Paste” daripada sesuatu laman web. Gejala plagiarisme juga merupakan perbuatan yang tidak beretika dan saling tak tumpah konsepnya seumpama merompak. Ia terjadi apabila seseorang menghasilkan semula atau menciplak hasil ilmiah milik orang lain samada dalam bentuk perkataan, idea-idea atau penemuan-penemuan tertentu. Ada beberapa bentuk plagiarisme yang diamalkan. Antaranya ialah, penipuan secara langsung perkataan-perkataan, perenggan atau sebarang bahan yang diambil daripada bahan terbitan orang lain tanpa usaha yang sewajarnya dalam mengiktiraf sumber asal bahan ilmiah tersebut atau pengubahsuaian perkataan-perkataan orang lain juga tanpa memberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Dengan teknologi 'dunia di hujung jari' melalui internet pada masa kini, diakui seseorang pelajar mampu menyiapkan kertas kerja atau tesisnya dengan jalan pintas yang cepat.

Sebab dan Musabab Amalan Plagiarisme ini Dalam Kalangan Pelajar

Disini kita akan menyatakan beberapa sebab dan musabab amalan plagiat ini dalam kalangan pelajar.

Pertama, pelajar kurang mahir dalam mencari maklumat. Hal yang demikian, pelajar itu tidak didedahkan kepada kemahiran untuk mencari maklumat atau bahan itu dengan betul. Maka, pelajar itu akan mengalami kesulitan dalam menyiapkan sesuatu tugasan. Situasi ini menyebabkan pelajar cenderung untuk melakukan plagiat. Sepatutnya, para pelajar harus didedahkan dan diberi tunjuk ajar mengenai kemahiran mencari maklumat. Yang dikatakan kemahiran mencari maklumat ini termasuklah cara untuk menyelidik dan mengetahui objektif utama sesuatu tugasan bagi mendapatkan sesuatu fakta yang tepat. Melalui cara ini, tugasan pelajar itu akan nampak lebih kreatif dan berkualiti.

Keduanya, masa yang diperuntukan untuk menyiapkan sesuatu tugasan tidak mencukupi. Kebiasaannya, pelajar dikehendaki mengambil lima atau enam subjek bagi setiap semester. Kemudian, boleh dikatakan setiap subjek itu diberikan tugasan dan tempoh masa untuk menghantar adalah sama. Hal ini menjadi beban kepada pelajar dan menjurus mereka melakukan plagiat. Malahan timbul idea untuk mengambil hasil kerja orang lain dan dijadikan hasil sendiri.

Ketiganya pula, suasana pembelajaran yang berbeza dengan suasana disekolah dahulu. Pada peringkat sekolah atau matrikulasi, para belajar ibarat anak burung dimana guru akan menyuapkan dengan nota-nota dan maklumat tambahan. Jadi, tugas pelajar semasa di peringkat sekolah atau matrikulasi ini hanyalah menyalin sahaja tanpa perlu mencari apa-apa bahan yang diperlukan semasa sesi pembelajaran. Tetapi apabila mereka berjaya menjejakkan kaki di universiti, amalan disuap ini tidak lagi diteruskan oleh para pensyarah. Para pelajar haruslah berdikari dalam memenuhi keperluan sesi pembelajaran di universiti, dengan mencari nota-nota kuliah itu sendiri. Sesetengah pelajar yang tidak dapat menyesuaikan diri dalam situasi di universiti akan ketinggalan dan tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan nota-nota kuliah atau maklumat untuk dipelajari. Dengan itu, pelajar tersebut akan cenderung untuk mengambil jalan mudah dengan melakukan amalan "potong & tampal" ini, atau lebih dikenali "copy & paste" demi menyiapkan sesuatu tugasan.

Keempatnya, kurangnya kesedaran mengenai plagiarisme. Kebanyakan pelajar tidak mengetahui erti sebenar plagiarisme. Anggapan pelajar mengatakan tidak menjadi satu kesalahan menciplak hasil kerja orang lain. Sepatutnya pelajar haruslah kreatif dalam membuat sesuatu tugasan itu agar tugasan itu menjadi tugasan yang berkualiti, bukannya dengan meniru atau menciplak sebulat-sebulat fikiran orang lain dalam menyiapkan sesuatu tugasan itu. Justeru itu, para pensyarah atau tenaga pengaja disarankan untuk membuat satu sesi bagi membicarakan gejala ini dan menyelesaikan masalah para pelajar agar tidak terus menjerumus ke arah gejala plagiarisme ini. Para pelajar sendiri haruslah menitikberatkan isu ini kerana mereka yang akan menerima implikasi yang buruk sekiranya amalan ini diteruskan.

Kelima, kekurangan dalam persediaan untuk menyiapkan tugasan. Amalan plagiarisme ini semakin menjadi satu pilihan pelajar dalam menyiapkan tugasan kerana tidak mempunyai perancangan dari segi masa yang baik. Sekiranya persediaan yang awal tidak dilakukan terlebih dahulu, kerja yang dihasilkan tidak memuaskan dan tidak berkualiti. Akibatnya, pelajar terbabit akan dikenakan tindakan untuk membuat semula tugasan yang diberikan, maka pelajar akan berasa tidak bersemangat, malah cenderung melakukan plagiat kerana menyatakan banyak masa terluang telah habis kerana menyiapkan tugasan tersebut.

Akhir sekali adalah sifat pelajar itu sendiri. Hal yang demikian kerana, seseorang pelajar itu telah dididik daripada peringkat sekolah rendah untuk menyalin dan meniru sahaja tanpa perlu berusaha sendiri. Apabila berjaya ke menara gading juga dikatakan bukanlah dengan usahanya sendiri tetapi dengan melakukan plagiat. Justeru itu, kebanyakan pelajar tidak dapat meneruskan pelajaran mereka kerana telah ketinggalan. Akhirnya telah membawa mereka untuk menamatkan pelajaran dengan lebih awal. Ada juga yang berjaya menghabiskan pelajaran di universiti tetapi mereka tidak membuat tugasan yang diminta itu, mereka telah membayar kepada pelajar yang lebih pandai dan dapat sesuaikan diri dalam persekitaran universiti untuk melakukan tugsan mereka itu.

Kesimpulan yang dapat dibuat disini adalah akan lahir mahasiswa dan mahasiswi yang mempunyai kecemerlangan dalam peperiksaan tetapi mereka tidak mampu dalam membuat sesuatu kerja. Maka apabila menempuh alam perkerjaan mereka akan dianggap hanya berlagak dengan sijil, diploma, ijazah tetapi tidak mampu menjalankan kerja atau tugasan yang diberikan. Situasi ini telahpun berlaku di negara kita ini, dimana mahasiswa dan mahasiswi tidak dapat menyesuaikan diri di alam pekerjaan dan menyiapkan tugasan mereka sedangkan CGPA mereka adalah sangat baik sekali. Justeru itu, amalan palgiarisme ini harus dibendung agar dapat melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berkualiti bagi menjana tenaga kerja negara.

Mengelakkan daripada Melakukan Plagiarisme

  1. Semua bahan yang diambil daripada karya orang lain haruslah membuat kutipan kurung atau citation atau kurungan kecuali pengetahuan umum. Iaitu maklumat yang terdapat dalam buku teks atau hamper semua karya dalam satu topik.
  2. Ketika mengambil kata-kata orang lain, kutipan atau kurungan tidak cukup. Tetapi haruslah dinyatakan dengan jelas.
  3. Parafrasa bererti meletakkan bahan dengan kata-kata sendiri , tidak menetapkan kata-kata orang lain.
  4. Tetapi parafrasa juga adalah bahan yang memerlukan kutipan kurung atau kurungan.
  5. Nyatakan citation atau nota kaki.




Petikan-Petikan akhbar:

Utusan Malaysia Online - Forum

Utusan Malaysia Online - Terkini

Utusan Malaysia Online - Rencana

Artikel Menarik:

http://www.valdosta.edu/~cbarnbau/personal/teaching_MISC/plagiarism.htm

Sumber:

http://ms.wikipedia.org/wiki/ciplak

http://pkukmweb.ukm.my/~library/inspirasi5.pdf

http://belia2010.blogspot.com/search/label/plagiarisme

http://azizankadir.com/plagiarism-fenomena-atau-trend.html

Friday, August 6, 2010

2: Kecanggihan Teknologi Punca Utama Seks Bebas

Seks bebas pada masa kini sering kali dikaitkan dengan remaja. Istilah 'remaja' berasal daripada bahasa Latin "Adolescere". John Pieget (Lapu,2010) menyatakan psikologi adalah usia saat individu berintegrasi dengan masyarakat dewasa, usia di mana anak itu tidak lagi berada di bawah tingkat orang yang lebih tua, melainkan berada pada tingkat yang sama. Kartono (Lapu,2010) mengemukakan pendapatnya bahawa kenakalan remaja atau dalam bahasa Inggeris, juvenile delinquency merupakan gejala patologis sosial pada remaja yang disebabkan oleh satu bentuk pengabaian sosial. Kesannya, mereka membentuk satu perilaku yang menyimpang.

Daryanto(1997), berpendapat kenakalan atau dari segi kata dasarnya nakal, adalah suka berbuat tidak baik, suka menganggu atau suka tidak patuh, malah kenakalan adalah perbuatan nakal, perbuatan tidak baik dan bersifat mengganggu ketenangan orang lain; tingkah laku yang melanggar norma masyarakat. Kenakalan remaja adalah disebabkan oleh pelbagai faktor iaitu faktor peribadi, faktor keluarga yang merupakan yang utama (Willis,1994), mahupun faktor persekitaran yang berpotensi dalam membentuk perilaku seorang anak (Mulyono,1995).

Seks bebas adalah hubungan sosial yang dilakukan diluar ikatan pernikahan, baik suka sama suka atau dalam dunia pelacuran (Antonim,2010). Seks bebas ini adalah akibat kemasukan budaya Barat ke dalam budaya Timur yang bertentangan sama sekali. Seks bebas berisiko besar kepada remaja kerana akan menjurus kepada kehamilan luar nikah. Justeru itu, tindakan susulan yang diambil bagi mengelak malu akan perbuatan seks bebas adalah menggugurkan kandungan. Pengguguran juga adalah satu risiko besar yang akan menjurus kepada kematian.

Jika dilihat dari segi sejarah, perlakuan seks bebas sudah menjadi tradisi dalam masyarakat Jahiliah dulukala. Zaman di mana pemikiran masyarakat Arab pra-Islam yang sangat tenggelam dalam "tanah lumpur" kebodohan dan kegelapan. Dalam masyarakat sering berlaku pertikaian dan pembunuhan, kekejaman dan menanam anak perempuan. Potret sosial mereka begitu gelap, amat primitif dan jauh dari peradaban.

Gejala tidak sihat dan bertentangan dengan budaya Timur ini adalah akibat kecanggihan teknologi. Hal yang demikian, melalui ruang siber atau teknologi internet yang merobohkan batas dunia dan media televisyen yang menyajikan hiburan, informasi serta berita terkini. Di era kehidupan dengan sistem komunikasi global, dengan kemudahan mengakses informasi baik melalui media cetak, TV, internet, serta DVD cetak rompak yang berleluasa dikalangan masyarakat, tentunya memberikan manfaat yang besar kepada kehidupan kita. Namun, perkembangan teknologi yang baik dan penting bagi perkembangan ilmu pengetahuan dan informasi para remaja telah disalahgunakan. Bahkan, rancangan di televisyen serta media-media berbaur porno (termasuk CD dan DVD porno yang mudah diperolehi) akan menjadi semakin dekat dengan para remaja untuk melakukan seks bebas. Selain itu, trend penggunaan telefon bimbit yang berleluasa serta penjualan video lucah di tempat terbuka dan boleh dibeli atau diperolehi oleh sesiapa pun tanpa mengira usia nyata meruncingkan lagi permasalahan ini.

Ditambah pula, perasaan ingin tahu dalam jiwa remaja dan ingin mencuba telah menjuruskan mereka kepada budaya Barat yang diagung-agungkan itu. Kemudian, media-media teknologi yang ingin mengaut keuntungan pada dasarnya telah menaburkan fahaman bahawa perbuatan seks bebas itu dianggap lumrah dan menyenangkan. Hal ini bermula dengan adegan bercium, pergaulan bebas, bertukar-tukar pasangan, dan kemudian penayangan kisah percintaan gay dan lesbian yang tersedia di media-media teknologi ini.

Berleluasanya gejala seks bebas ini adalah kerana kurangnya pegangan agama di kalangan remaja masa kini. Hal ini, ada kalanya tidak terlalu diperhatikan oleh ibubapa yang sibuk dengan kerja dan kegiatan mereka. Jika remaja tidak mendapat pegangan agama yang kukuh nescaya mereka jauh daripada Tuhan dan pastinya tingkah laku mereka menyeleweng.
Di Malaysia sendiri, seks bebas ini telah menjerumus remaja untuk melakukan pembuangan bayi. Kes pembuangan bayi ini semakin berleluasa disebabkan kecanggihan teknologi komunikasi yang berpengaruh dalam perlakuan sesual remaja. Terlalu banyak kes yang berlaku sehingga membimbangkan pelbagai pihak. Limpahan gambar, video dan unsur-unsur prono amat mudah didapati di alam maya dan dengan kecanggihan tekonologi memudahkan lagi bahan-bahan ini dimuat turun ke dalam telefon bimbit dan komputer riba untuk dikongsi serta dibawa kemana sahaja.

Sumber:

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0312&pub=kosmo&pg=ps 02.htm

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0429&pub=Utusan Malaysia&sec=Bicara Agama&pg=ba 02.htm